Latest News

News Clippings
'Kerja gila' jaya bawa ke puncak Xixabangma
Berita Harian - 21 May 2002
By Oleh Haryani Ismail
[BACK]

MULANYA, ada yang menganggap langkah Dr Robert Goh dan rakan-rakan pendaki nya memanjat Gunung Xixabangma di Tibet, tanpa bekalan balang oksigen dan bantuan pendaki berpengalaman, sebagai "kerja gila".

Namun, kesangsian para pendaki lain itu kini bertukar menjadi suatu kekaguman apabila Dr Goh, 36 tahun, dan Encik Edwin Siew, 32 tahun, berjaya mencapai puncak gunung Xixabangma setinggi 8,000 meter meskipun dalam cuaca buruk dan salji tebal.

Mereka yang tiba di puncak Khamis lalu, selepas pendakian empat hari, juga adalah pasukan pertama di Asia Tenggara yang menawan gunung Xixabangma dengan kaedah merbahaya yang dikenali sebagai alpine.

Kumpulan tersebut yang berada di Nepal sejak lewat Mac lalu, mengangkut sendiri bekalan seberat 35 kilogram dan hanya menggunakan tali ketika melintasi sudut-sudut merbahaya.

Kata Dr Goh dalam sesi sidang video langsung dari Kem Pangkalan Lanjutan Xixabangma ke pejabat Singapore Pools di Paradiz Centre, pagi semalam: "Kami ingin buktikan bahawa meskipun tubuh kami kecil berbanding pendaki dari Barat yang lebih berstamina, dan walaupun Singapura bukan negara yang ada gunung-ganang, kami akhirnya berjaya dengan berbekalkan kesungguhan dan kerjasama."

"Pendaki dari Australia dan Finland, antaranya, cukup kagum dan tabik keberanian kami menentang cuaca buruk untuk sampai ke puncak. Malahan, mereka ingin pelajari cara kami melakukannya."

Sidang video yang diuruskan oleh Singapore Pools dan Mediacorp itu turut disertai oleh Menteri Sekitaran, Encik Lim Swee Say, yang juga penaung Ekspedisi Xixabangma itu.

Dua lagi anggota ekspedisi, Dr Mok Ying Jang, 35 tahun, yang mengundurkan diri kerana keretakan tulang rusuk dek serangan lelah, dan pengurus kem pangkalan, Cik Lulin Reutens, 56 tahun, turut bersembang dalam sidang video itu.
Apabila ditanya oleh Encik Lim, bagaimana mereka masih kelihatan segar-bugar, Dr Goh berseloroh:
"Sebab kami pakai lima lapis baju tebal!"

Mereka dijadualkan pulang ke Singapura pada 5 Jun ini.

  TOP
 
Copyright © 2001 - 2003 Singapore Xixabangma Expedition 2002. All Rights Reserved.
Last Updated 08 March 2003